29 Oktober 2010

Hujan Malam

Kalau hujan lebat bermula dari awal pagi dan sehingga membawa ke dinihari adalah sesuatu yang mengamit kenangan bagi budak kampung seperti aku. Seperti mana yang berlaku pada malam tadi. Bukan saja tidurnya terlalu nikmat, tetapi aktiviti bila hari siang juga tidak kurang menariknya. Yang pastinya bagi penoreh getah, mereka akan mendapat cuti tanpa tanpa gaji tanpa mengisi borang, dan tanda tangan sesiapa.

Bangun saja tidur, selalunya belum sempat untuk bersarapan lagi sudah muncul wajah-wajah dikenali yang biasanya tidak lena tidurnya malam tadi. Wajah yang tidak sabar menanti hari siang. Wajah yang kadang-kadang aku terpaksa kecewakan. Terpaksa juga ikutkan. Wajah yang pada masa ini aku terbayang. Tapi semuanya hanya kenangan. Macam cerita aku semalam.

Aktiviti kami selepas hujan biasanya adalah mencari makan. Mencari makanan. Yang lebih tepat lagi adalah mencari ikan. Memancing. Kerana air bukit yang  turun dari hutan Gunung Tahan dan Gunung Rabung selepas hujan akan menaikkan paras air sungai Relau yang merentasi Hutan Simpan Negeri Pahang yang bersebelahan dengan kampung kami. Pada masa itu ikan Baung, ikan Tosan, ikan Jelebek dan banyak lagi akan berenang galak, gembira, riang, leka dalam sungai Relau. Dan pada masa itu jugalah kami akan menawarkan cacing-cacing segar yang dicangkul di tepi car rumah sebelum masuk ke hutan tadi sebagai umpan pancing.

Setelah sehari suntuk berada dalam hutan, biasanya hasil yang diperolehi tidaklah sebanyak mana pun. Namun kepuasan masuk hutan, kepenatan berjalan, itu membuatkan kami seronok. Bersedekah darah pada pacat-pacat dan nyamuk-nyamuk. Balik makan nasi dengan lauk ikan masin pun siap tambah dua tiga kali. Maklumlah seharian di hutan. Biasanya bukan makan  dari hasil memancing pun.

Itu semua sudah berlalu. Walaupun baru 10 tahun berlalu. Ia tetap berlalu dan terus berlalu. Kini apa yang tinggal hanyalah aku dan kenangan itu. Kenangan yang menjadikan aku siapa aku.

Tiada ulasan: