15 Ogos 2011

bila dah macam-macam Vol.21



"kalau saya mati,saya akan hidup seribu tahun lagi"
Mungkin anda tak pernah dengar ungkapan tu.Dan mungkin juga anda pernah dengar.Bagi siapa yang tak pernah dengar ungkapan tersebut,ia adalah ungkapan dari Allahyarham Tan Sri P.Ramlee dan diceritakan oleh sahabatnya iaitu Datuk Aziz Satar.

Mungkin ada benarnya tentang ungkapan beliau itu.Kerana sehingga sekarang,bakat dan filem-filemnya masih diterima masyarakat.Masih diminati.Walaupun kepada peminat yang lahir selepas kematian beliau.Seperti saya.Namun wataknya tetap hidup.

Tetapi disebalik pengagongan yang diberikan tentang bakat,tentang karya,tentang personaliti beliau itu sebenarnya masih ada kepincangan dan boleh diambil pengajarannya.Tentang P.Ramlee.Tentang penghargaan.Kerana semasa hayatnya,beliau bukan mendapat penghargaan seperti sekarang.Yang sehingga membawa kepada gelaran Tan Sri.

Beliau hanya dilayan seperti pengkarya-pengkarya yang lain saja semasa zamannya.Sebab beliau juga manusia biasa sahaja disamping ada sedikit keistimewaan dari segi bakat dan pemikiran.Itu yang mengheret beliau ke dalam dunia populariti yang seketika.Yang penuh dengan lakonan.Dan seterusnya menjatuhkan beliau ke tahap yang menyedihkan.Ramai yang tidak tahu tentang itu.Bahawa Allahyarham Tan Sri P.Ramlee semasa di akhir hayatnya melalui zaman kejatuhan yang menyedihkan.Yang sebenarnya memadam terus detik kegemilangan yang dikecapi beliau sebelum itu.Namun beliau diangkat kembali selepas kematiannya.

P.Ramlee pernah diboikot oleh semua wartawan dan cerita mengenainya langsung tidak ditulis di mana-mana artikel pada masa itu.Menghampiri zaman kejatuhannya,beliau ditawarkan untuk mengarah filem yang berwarna dan itu adalah merupakan impiannya.Namun tawaran tersebut ditarik balik dan diberikan kepada pengarah yang lebih muda pada masa itu.Jins Shamsuddin.Kekecewaan mula berputik dihati beliau.Ditambah pula lagi dengan penamatan kontrak bersama syarikat rakaman pada masa itu.EMI.Dengan alasan lagu-lagu beliau sudah tidak lagi mendapat tempat dihati peminat.Dan percubaan beliau untuk mendapat pinjaman pembiayaan dari badan-badan kerajaan dan bank tempatan bagi menghasilkan filem juga ditolak.Lagi membuatkan beliau semakin parah dengan kekecewaan dan juga masalah kewangan.Sehinggakan beliau pernah membuka kedai untuk orang bermain mahjong untuk mencari pendapatan.Sehingga ke akhir hayatnya,beliau semakin melarat dan hidup miskin dengan anak-anak dan isterinya,Allahyarham Datin Sri Saloma.

Begitulah sedikit sebanyak cerita mengenai seorang insan seni yang pada zamannya tidak dihargai,tapi di kenang dan diagong-agongkan selepas ketiadaannya.Dan sebenarnya itu adalah hakikat kepada kehidupan,manusia akan mula menghargai apa yang sudah berlalu.Pada sesuatu yang telah hilang.Pada orang yang telah meninggal.

Dan dibulan Ramadhan yang mulia ini,marilah kita menghargai insan-insan yang penting dalam hidup kita.Mari kita berbuat baik pada ibu dan ayah.Mari kita menghormati kawan-kawan.Percayalah,kita tidak akan menyesal dengan melakukan demikian.Mungkin kita akan menyesal sekiranya melakukan yang sebaliknya.

Tiada ulasan: