1 Mac 2012

pengembaraan:bermula dan berakhir

Jam 12.00 tengahari.
Adalah merupakan waktu ketibaan keretapi henti-henti di kampung Mentara Baru pada 15 tahun lalu.Dan itu pun kalau tiada masalah di stesen-stesen dalam perjalanan sebelumnya.Keretapi boleh dikatakan nadi perhubungan bagi penduduk antara bandar Gua Musang dan Kuala Lipis.Dan pada pukul 12.00 ini,laluan keretapi adalah menuju ke Kuala Lipis.Manakala pada pukul 4.00 petang pula,Dari Kuala Lipis ke Gua Musang.

Al-Bakri,seorang kanak-kanak yang baru berusia 10 tahun.Bersama dengan abangnya yang keciciran sekolah sedang menunggu keretapi untuk menziarahi rumah kakak mereka di pinggiran pekan Raub.Mereka akan menaiki keretapi sehingga ke stesen Kuala Lipis dan seterusnya akan menelefon kakak mereka untuk menjemput di sana.

Disamping melawat,merasa tempat baru,hajat hati juga besar iaitu untuk berkerja dengan kakak mereka.Dapat la juga duit poket nanti.Kerana kakak mereka menjalankan perniagaan membuat laksa dan diedarkan ke kedai-kedai makan di sekitar Raub.Mereka juga dibekalkan 1kg cili api yang telah dipesan oleh kakak mereka sebelum ini sekiranya ingin berkunjung ke tempatnya.Untuk dibuat sambal tumis.

Setelah menaiki keretapi selama lebih 3jam,maka tibalah mereka di stesen keretapi Kuala Lipis.Setibanya di Kuala Lipis,abangnya terus mendapatkan public phone untuk memberitahu bahawa mereka sudah sampai dan meminta untuk menjemput mereka di situ.Namun malangnya panggilan tidak dijawab.Berkali-kali panggilan dibuat,semuanya tidak dijawab oleh pihak sana.Sehingga ke senja.Malam.

Mereka mula mencari tempat untuk berteduh.Untuk menunggu.Mungkin menumpang tidur.Dan sebagai seorang yang musafir,maka surau atau masjid akan bermain dalam kepala mereka untuk melepaskan lelah atau pun tidur seketika.

Jadi malam ini mereka akan bermalam di masjid Kuala Lipis.Bertemankan nyamuk tiruk.Berbantalkan plastik cili padi.Bermimpikan mee laksa.

Azan subuh berkumandang mengejutkan tidur dua beradik yang terkandas di sebuah perjalanan untuk mengejar bayangan dengan mempertaruhkan suatu harapan.Selesai berjamaah solat subuh,mereka pun menyusuri jalan menuju ke stesen keretapi untuk balik semula ke Kampung.Al-bakri yang masih lagi kanak-kanak naif hanya mengikut saja apa yang diputuskan oleh abangnya.

Pukul 6.00 akan ada keretapi ekspress dari Singapura ke Tumpat akan tiba di Kuala Lipis.Keretapi tersebut akan melalui kampung mereka,tetapi tidak berhenti di kampung mereka.Stesen terdekat ia berhenti adalah di Gua Musang.Keretapi tersebut akan sampai di stesen Gua Musang dalam pukul 9.00 pagi.

Di Gua Musang mereka menunggu pula keretapi henti-henti ke kampung mereka yang dikenali oleh orang kampung sebagai "keretapi pukul 12".Keretapi tersebut bertolah dari stesen Gua Musang pada pukul 11.00 pagi.

Jam 12.00 tengahari,dua beradik itu telah melengkapkan 24jam pengembaraan mereka yang pertama dalam hidup.Dan sudah semestinya akan kekal jadi kenangan sepanjang hayat.

Tiada ulasan: