18 Jun 2012

15 JUN 2012/10:58:58 a.m

Kemuncak debaran bagi mereka yang melapor diri sebagai pelatih baru PDRM hari ini bukan kepalang lagi. Dan salah seorang daripada mereka adalah Mohd Al-Bakri (seseorang yang pernah di ceritakan dalam salah satu entri blog ini) yang juga turut melapor diri di PULAPOL jalan Semarak, Kuala Lumpur.

Kegembiraan yang terpancar diwajahnya ketika menerima Surat perlantikan dua minggu lepas dan mengetahui bahawa dia akan dihantar ke PULAPOL Kuching,Sarawak untuk menjalani latihan selama tiga bulan, kini kian bertukar ke reaksi resah. Segala persediaan secara fizikal atau material telah dilakukan. Namun persediaan secara mental,hanya dia yang tahu. Bagaimana menepis momokan masyarakat tentang perjalanan latihan unit berunifom tersebut. Juga bagaimana untuk hidup jauh di negeri orang, siap merentasi Laut China Selatan lagi itu. Sesungguhnya mental mesti kuat.

Dia tiba di Hentian Putra dari kampung petang semalam masih lagi bermuka tenang. Kami pergi beli barang di Jalan TAR, beli baju melayu di Carrefour, potong rambut dan makan malam. Sup gearbox. Kami juga sempat bebicara tentang masalah keluarga. Tentang mimpi saya malam kelmarin. Sedikit merisaukan kami. Walau kami tahu mimpi hanya mainan tidur.

Pagi tadi, selepas dia kejut saya dari tidur, dia terus pergi mandi. Saya mendapati semua sudah siap dilakukan. Gosok baju,kemas barang dan sebagainya. Ternyata dia sebenarnya tidak dapat tidur lena malam tadi. Selepas mandi dan pakai kemaja putih dan seluar sled hitam, dia siap melakukan pumping 26 kali di hadapan saya. Dan sebenarnya itu adalah salah satu cadangan saya padanya untuk badan kelihatan tegap.

Fikirannya mula melayang-layang saya rasa apabila kami dalam perjalanan ke PULAPOL. Apabila semasa singgah untuk membeli tie di Ampang Point, dia tersepak batu bata devider parkir di situ sehingga mencalarkan kasut kulit berkilat baru dibeli malam tadi. Itu menandakan bahawa dia berada dalam keadaan gelisah dan tidak fokus. Cadangan saya untuk bersarapan juga ditolak, katanya bimbang nanti lambat sampai. Yang pastinya, hati dia terlalu risau sehingga mematikan selera makan. Walau perut lapar.

Dalam perjalanan saya yang banyak berkata-kata. Berpesan apa saja yang mungkin sudah didengarinya sebelum ni, tapi sebagai abang saya rasa ingin juga berpesan. Hadapi apa saja yang datang. Walau susah mana,walau payah mana. Fikirkan sudah ramai orang yang melaluinya dan berjaya bertahan. Jadi dia kena termasuk dalam kumpulan yang berjaya bertahan,bukan tergolong dalam kalangan segelintir mereka yang kecundang.

Setelah sampai di kawasan padang tempat berhimpun, saya sempat bertanya soalan padanya.

“Apa kamu rasa sekarang?”

“Aku rasa berdebar-debar yang terlampau. Memikirkan apa yang bakal berlaku lepas ni.” Jawabnya jelas.

“buatlah yang terbaik” Sekali lagi saya berpesan.

Setelah melalui permukaan padang bola belum siap di PULAPOL , saya parking kereta betul-betul di hadapan konopi tempat berkumpulnya ahli keluarga yang menghantar pelatih. Tapi mungkin konopi itu bertujuan untuk perkara lain,kerana tiada pula kerusi di sediakan kalau betul untuk ahli keluarga yang datang.

Para pelatih semuanya ditemani oleh sekumpulan ahli keluarga yang ramai. Ada yang bersedia dengan bakul bekal picnic serta tikar semata-mata mahu menghantar ahli keluarga mereka. Dan tidak kurang juga dengan drama air mata yang dimainkan oleh kaum ibu menandakan berat hati melepaskan anak-anak mereka pergi jauh dari mereka.

Namun kami hanya dua beradik saja yang muncul pagi tadi. Dia(pelatih) dan saya (ahli keluarga pengiring) yang muncul tertinjau-tinjau mencari direction apa yang sepatutnya dilakukan. Setelah beratur dan mendengar taklimat ringkas dari anggota yang bertugas,maka secara rasminya Mohd Al Bakri Bin Ismail melapor diri sebagai pelatih. Selepas bersurai dari beratur melapor diri, semua diminta untuk menaiki trak yang telah disediakan. Mereka meninggalkan rombongan keluarga terkontang kanting di situ dengan seribu satu perasaan.

Oleh kerana terlalu risau,takot,bimbang,resah,fikiran melayang-layang dan segala macam, dia telah membuatkan saya hanya dapat melihat dia melangkah pergi manaiki trak tanpa sempat berjabat tangan bersalaman pun. Saya mula bermonolog,”nasib baik la Ma(ibu kami) tak datang,kalau tidak mesti dia asyik terbayangkan saat ini,saat anaknya melangkah pergi tanpa menoleh memberi lambaian ”. Tapi jauh di sudut hati, saya mendoakan dia selamat pergi dan selamat pulang.

Saya sangat mengakui, kasih sayang,peduli,harapan,kasihan dari setiap ahli keluarga kami bukan ditunjukkan melalui perkataan,perbuatan atau apa saja. Persaudaraan kami adalah secara roh dan jiwa. Secara hakikat seperti kata pepatah orang putih,”darah lebih pekat dari air”.

Tiada ulasan: