11 April 2015

"Biar la dia tidur"

Pada 11 March 2015, iaitu genap sebulan berlalu pada jam begini terjawablah segalanya apa yang telah tertulis olehNya terhadap usia seorang lelaki bernama Ismail Bin Seman.Terjawab jugalah segalanya, akan status kami adik beradik, ma dan semua orang. Iaitu jawapan bahawa, ada yang bertukar status jadi yatim, jadi balu, jadi bekas kawan, jiran, rakan sekerja, musuh dan sebagainya status-status yang ada.

Saat begini hanya jasad kaku terbaring dan diratapi kami sekeluarga tanda kasih,namun redha. Kerana kami sedar,kami hanya diberi pinjam sementara saja hidup ini.Kesedihan memang tidak dapat lari dari peristiwa kematian. Bilamana kami sedar bahawa tubuh yang kaku dihadapan kami itu tidak akan bangun lagi walau satu detik sekalipun selepas ini.Yang bangun, bercakap, berjalan, senyum, marah, menangis hanya dalam kenangan masing-masing setiap kami. Itu juga berbeza antara satu sama lain dikalangan kami ahli keluarga.

Jam 7.42 pagi, mesin yang membaca denyutan nadi telah menunjukkan bacaan  angka kosong(0), itu bermakna ayah yang tidur sejak petang hari sebelumnya itu tidak akan bangun lagi. Doa kami supaya dia kembali jaga sudah berakhir. Bisikkan kami supaya dia mendengar dan sedar dari tidurnya itu sudah tidak bermakna.

Malamnya, kami berkampung di keliling katil hospital.Sangat memilukan apabila tiba saat membaca Yaasin pada orang yang tersayang begitu.Kerana dengan bacaan itu,jelas menggambarkan tiada apa lagi perlu kami harapkan melainkan ketentuan Allah yang Maha Kuasa ke atas sekalian alam ini.

Bila dapat keputusan bahawa hayat ayah sudah berakhir,memang tidak mengejutkan pun kerana kami memang sedia maklum keadaannya akan berakhir begitu.Namun serentak dengan itu juga terasa kehilangan yang teramat.Cuma pada masa itu,apa yang ada dalam fikiran adalah untuk menguruskan keadaan sebaik mungkin.Urusan pengebumian akan dilaksanakan dengan sempurna.Aku mengambil tugas untuk memandikan ayah buat kali terakhir.Biarlah kami anak-anak berbakti untuk kali yang terakhir ini.

Masa memandikan jenazah ayah, jelas kelihatan sakit-sakit(kulit)yang selama ini ada pada badan-badan arwah semuanya sudah sembuh.

Waktu van jenazah tiba di perkarangan rumah,jenazah dibawa masuk ke dalam rumah buat kali terakhir.Sekilas terpandang melalui tingkap, Iz(adik paling bongsu keluarga kami) sedang duduk di atas motosikal yang diletakkan di bawah pokok di penjuru laman rumah. Hanya menyeka air mata,menyembunyikan tangisnya.Dia merupakan pemegang status anak yatim dalam keluarga kami selepas ini.Tangisnya menggambarkan akan sedihnya dia apabila kehilangan seorang ayah,yang merupakan tempatnya bergantung,menumpang kasih,menunaikan permintaannya selama ini.

Jenazah ayah dibaringkan di ruang tamu penjuru kiblat rumah kami.Tempat itu juga sebenarnya ruangan solat bagi keluarga kami suatu ketika dulu,namun kini ruangan solat sudah berpindah ke bilik masing-masing.Tempat dibaringkan arwah ayah itu dulu juga, tempat ayah mengajar aku bersolat,ajar baca Quran, tempat aktiviti keluaga di waktu malam sementara menunggu tidur suatu masa dulu.Ini kerana rumah kami hanya ada ruang tamu dan dapur sahaja dipermulaan pembinaannya.

Selepas solat zohor,kariah kampung berserta penduduk dari kampung-kampung sebelah,kami mohon untuk mengadakan solah jenazah untuk arwah ayah.Mohon semua mendoakan arwah ayah tenang menghadap Allah,diampunkan dosanya,dirahmati oleh Allah,diberatkan timbangan pahala kebaikannya selama ini.

Jenazah dibawa ke kuburan, dan di kebumikan. Aku tidak melepaskan tanggungjawab terakhir aku untuk membawa arwah ayah ke dalam liang lahadnya.Sebab hanya itu saja peluang untuk aku menyentuh ayah,mengangkat ayah.Selepas ini aku tidak akan ada lagi peluang untuk itu semua selama lamanya sehingga aku sendiri menghadap Ilahi.

Selama ini,sejak aku mula ingat. Hanya ayah seorang saja ayah yang aku ada. Aku membesar, tiada langsung detik yang tidak ada ayah dalam memori aku selama ini. Dalam meniti perjalanan hidup sebagai manusia, menimba pengalaman menanam padi, mengukur hutan untuk diteroka menjadi kebun sehingga sekarang, mengusahakan kebun pisang bagi menghantar Nazan(abang) belajar, kerja di ladang sawit, malah turut bersama ayah semasa berkerja sebagai security di Serdang.

"Udi,cepat la mari,misi(nurse) kata ayah bukan tidur ni.Dia dah koma sebenarnya". Itu merupakan panggilan telefon dari Ita(kakak sulong) yang berjaga di hospital sementara kami balik sebentar ke rumah pada petang hari sebelum pemergian ayah kami.

"Udi,mu bertolak dah ker.Cepat la,doktor kata ayah ni memang sudah takde apa yang boleh dibuat dah". Faridah(adik) call masa aku masih lagi kat Johor tiga hari sebelumnya.

"Udi,mu sampai bila.Nazan tak kelik ker?" Ayah bersuara sebaik melihat aku berdiri di birai katilnya.

"Esok lusa dia balik la tu, ayah jangan bimbang kat dia, yang penting ayah kena sihat,orang nak bawak ayah ke rumah orang beli kat Johor tu". Aku balas dengan sebuah harapan

"Ayah.orang mintak maaf kalu ada salah silap orang dengan ayah selama ni"

"Ayah maaf dah semuanya". Masa tu bercucuran air mata ayah

Aba(adik) yang sedang duduk leka menghadap handphone di penjuru dinding terkejut dan bingkas bangun apabila situasi itu berlaku.

p/s : Ba,itu la sebenarnya yang berlaku malam tu,masa ayah menangis tu sebelum aku balik tu.






 

Tiada ulasan: