13 Februari 2016

"Minje"

Sementara ada peluang untuk menulis hari ni, aku nak perkenalkan satu aktiviti yang sudah dilupakan praktiknya dikalangan masyarakat. Mana tahu, andai ada yang search tentangnya suatu hari nanti, dapat juga memberi sedikit maklumat. "Minje" adalah berasal dari perkataan "pinjam". Namun "minje" lebih tepat lagi singkatan dari "meminjam"

Apakah aktiviti "minje" itu? Bagi generasi yang lahir tahun 80an dan ke bawah di kampong aku (Kampong Mentara Baru, Merapoh 27210 Kuala Lipis, Pahang) memang tidak asing lagi dengan perkataan dan aktiviti tersebut. Kerana sekitar 15-20 tahun dulu, aktiviti itu sangat selalu dilakukan oleh penduduk kampong.

"minje menebas kebun"
"minje bangunkan/dirikan rumah"
"minje gali telaga"
"minje usung/alihkan rumah"

Dan pelbagai "minje" lagi kami penduduk kampong lakukan. "Minje" merupakan aktiviti seumpama gotong royong yang dilakukan beramai-ramai oleh penduduk kampong. Mengapa "minje", jika ianya sama seperti gotong royong? Jawapanya adalah, "minje" biasanya kerahan tenaga/atau pinjaman tenaga penduduk kampong untuk melaksanakan kerja persendirian. Berbeza dengan gotong royong, biasanya untuk melaksanakan kerja yang berkaitan kepentingan masyarakat. Contohnya bersihkan kubur, tebas jalan, cuci surau dan sebagainya.

Tuan rumah yang meminta "minje" akan menyediakan makanan sebagai upah bagi melaksanakan kerja-kerja yang dihajati. Dengan ini, dapat mengurangkan sedikit beban kewangan tuan rumah. Namun sebenarnya pada masa itu, ekonomi penduduk kampong berada di tahap miskin dan amat susah jika dibanding sekarang.

Bagi yang mempunyai kepakaran khas seperti menukang terutamanya, akan diupah lebih sedikit berbanding penduduk kampong lain yang hadir menolong. Mungkin dengan sedikit wang atau barangan seperti beras, gula dan sebagainya.

Aktiviti "minje" juga biasanya tidak mencuri terlalu banyak masa penduduk kampong. Kebiasanya hanya sehari atau setengah hari saja.

Peribahasa ;bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat. Bersatu teguh,bercerai roboh. Semuanya masih valid dan dipraktikan secara tanpa sedar. Mungkin kerana wang/duit pada masa itu tidak berapa berkuasa. Sebab kalau sekarang, ungkapan "takde duit, semua tak jalan" lagi popular disanubari.





 

Tiada ulasan: