15 Februari 2016

Bila Umur 40

Kita selalu dengar orang kata "orang lelaki kalau umur 40 tak berubah, maknanya tak kan berubah(ke arah kebaikan) la tu". Ada benarnya. Ini kisah seorang isteri yang sentiasa diuji dengan ujian berupa nasib malang. Mau tidaknya, bila dapat bersuamikan lelaki yang termasuk dalam kategori  tersebut. Yang mana harapan untuk sang isteri supaya suaminya itu berubah kian pudar. Yang pasti adalah, harapan itu telah terkubur. Kerana selagi hayat dikandung badan, selagi itu juga suaminya itu berdegil tidak akan cuba untuk berubah dan menjalani hidup normal sepertimana lelaki-lelaki lain di luar sana.
Belum pun reda akan jerih yang terpaksa di lalui dulu ketika mana suaminya itu ditangkap dan didakwa dibawah akta 39 akta dadah merbahaya. Kerana mengedar dadah. Manakala si isteri pula diheret sama ke pihak pendakwaan kerana dituduh cuba merasuah anggota polis bagi melepaskan suaminya. Saat itu jelas terbayang susahnya hidup, penatnya jiwa untuk dia menghadapinya. Dalam kepayahan itu, siapa lagi melainkan darah daging yang jadi tempat simpati. Itu adalah lumrah. Dan lumrah juga bahawa seburuk dan sebusuk manapun darah daging akan dibantu. Tidak diberi secara mutlak, sekadar pinjam segala perbelanjaan serta wang jaminan dengan pihak polis dan badan pencegah rasuah. Kerana tidak sanggup melihat darah daging meringkuk dalam kurungan besi penuh penyiksaan fizikal dan rohani itu,selagi boleh diusahakan mengelak. Pada masa suaminya sudah pun meringkuk dalam penjara, dia pula terpaksa berhadapan dengan urusan perbicaraan. Namun masih beri harapan dari sang suami bahawa segala hutang piutang akan dilangsaikan selepas dia keluar dari penjara. Itu janjinya. Janji seorang pesalah. Janji seorang lelaki yang sudah mencecah usia 40 tahun.
Kini, Selepas kurang dari 2 tahun bebas dari hukuman mengedar dadah itu. Suaminya kembali lagi ke dalam pagar besi sebagai banduan. Kali ni kesalahan lebih ringan iaitu mencuri harta benda. Hutang yang dulu janjinya nak dibayar masih belum terbayar, kini dia sudah kembali ke sangkar kebodohan itu lagi. Tiada ungkapan untuk lelaki itu selain dari berpaling dan biarkan dia dengan pilihannya itu. Biarkan si Luncai terjun dengan labu-labunya. Jangan dimarah, jangan ditengking. Terimalah nasib bahawa kesudahan kehidupan begini. Dia lelaki sudah tidak boleh berubah, maka pihak isterilah buat pilihan dan lakukan perubahan. Rasanya ia lebih berbaloi.
~ Sekian

13 Februari 2016

"Minje"

Sementara ada peluang untuk menulis hari ni, aku nak perkenalkan satu aktiviti yang sudah dilupakan praktiknya dikalangan masyarakat. Mana tahu, andai ada yang search tentangnya suatu hari nanti, dapat juga memberi sedikit maklumat. "Minje" adalah berasal dari perkataan "pinjam". Namun "minje" lebih tepat lagi singkatan dari "meminjam"

Apakah aktiviti "minje" itu? Bagi generasi yang lahir tahun 80an dan ke bawah di kampong aku (Kampong Mentara Baru, Merapoh 27210 Kuala Lipis, Pahang) memang tidak asing lagi dengan perkataan dan aktiviti tersebut. Kerana sekitar 15-20 tahun dulu, aktiviti itu sangat selalu dilakukan oleh penduduk kampong.

"minje menebas kebun"
"minje bangunkan/dirikan rumah"
"minje gali telaga"
"minje usung/alihkan rumah"

Dan pelbagai "minje" lagi kami penduduk kampong lakukan. "Minje" merupakan aktiviti seumpama gotong royong yang dilakukan beramai-ramai oleh penduduk kampong. Mengapa "minje", jika ianya sama seperti gotong royong? Jawapanya adalah, "minje" biasanya kerahan tenaga/atau pinjaman tenaga penduduk kampong untuk melaksanakan kerja persendirian. Berbeza dengan gotong royong, biasanya untuk melaksanakan kerja yang berkaitan kepentingan masyarakat. Contohnya bersihkan kubur, tebas jalan, cuci surau dan sebagainya.

Tuan rumah yang meminta "minje" akan menyediakan makanan sebagai upah bagi melaksanakan kerja-kerja yang dihajati. Dengan ini, dapat mengurangkan sedikit beban kewangan tuan rumah. Namun sebenarnya pada masa itu, ekonomi penduduk kampong berada di tahap miskin dan amat susah jika dibanding sekarang.

Bagi yang mempunyai kepakaran khas seperti menukang terutamanya, akan diupah lebih sedikit berbanding penduduk kampong lain yang hadir menolong. Mungkin dengan sedikit wang atau barangan seperti beras, gula dan sebagainya.

Aktiviti "minje" juga biasanya tidak mencuri terlalu banyak masa penduduk kampong. Kebiasanya hanya sehari atau setengah hari saja.

Peribahasa ;bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat. Bersatu teguh,bercerai roboh. Semuanya masih valid dan dipraktikan secara tanpa sedar. Mungkin kerana wang/duit pada masa itu tidak berapa berkuasa. Sebab kalau sekarang, ungkapan "takde duit, semua tak jalan" lagi popular disanubari.





 

8 Disember 2015

Muhasabah la semampunya

Andai terasa nak update entri je, mesti akan teringat tentang post berkaitan kematian. Kenapa dan mengapa itu sukar untuk dijawab. Namun yang pastinya mungkin sebab di masa blog ditulis, ada berlaku peristiwa kematian di sekeliling. Itu yang pasti.

Contohnya kali ni, baru tiga hari peristiwa kemangkatan putera raja Johor. Alfatihah untuk almarhum Tunku Abdul Jalil Iskandar Ibrahim Ismail Ibni Sultan Ibrahim. Pada usia 25 tahun. Masih muda.

Dilihat dari mata hati, itulah kuasa Allah. Mengatasi mana-mana kuasa atas muka bumi ini. Walau seorang anak raja sekali pun, tiada siapa dapat mengelak dari ketentuannya. Kalau ikut pada adat, dengan kuasa yang dimiliki oleh seorang raja sudah semestinya mereka mampu buat apa saja keputusan. Namun tidak untuk memanjangkan usia atau mengelak kematian.

Ini cerita bukan nak tunjuk pandai, sekadar luahan akan kita manusia ni tak punya apa pun yang kekal. Semua yang ada pada kita sekarang hanya pinjaman, dan sangat pasti kita akan kehilangan segalanya. Cuma masa itu tiada siapa pun tahu. Kalau ada yang cakap dia tahu akan terjadi di masa depan dengan pasti, dia telah melanggari fitrah manusia.



 

25 November 2015

CERIPEN

Seperti biasa, pengenalan tajuk. "ceripen" itu sebenarnya gabungan dan singkatan dari perkataan "cerita pendek". Seperti dalam pengetahuan kalian, biasanya singkatan itu jadi "cerpen", tapi untuk mengelakkan ia membawa maksud cerpen, maka aku ubah kepada ceripen.

Budak Baru
Macam company-company lain jugak le, hampir separuh pekerjanya akan memikirkan untuk cari kerja lain yang lebih bagus. Terutamanya di bahagian gaji. Semua orang mendambakan gaji basar. Oleh sebab itu, maka pekerja akan silih berganti. Akan sentiasa ada rakan baru. Itu normal. Tiada apa yang menarik untuk diceritakan pun pada dasarnya. Namun kalau ada yang menimbulkan cerita, itu termasuk dalam benda baru dan mungkin menarik untuk diceritakan. Atau juga boleh diambil pengajaran serta pengalaman.

Sini ada 3 orang pekarja baru masuk dalam masa hampir serentak. Jarak masa dalam sebulan dua saja. Tapi mereka dalam kategori pekerja baru. Mereka adalah budak fresh graduate. Untuk mereka ini ada beberapa cerita dari sisi yang berbeza. Dan aku akan cuba untuk olahkan supaya cerita mereka dapat dikongsi dan difahami bersama.

Subcerita yang pertama, dari segi layanan. Ada dikalangan mereka bertiga dilayan seperti raja, ada yang dilayan umpama hamba. Faktor layanan pula adalah berbeza mengikut paras rupa serta warna kulit. Yang rupa paras dalam kategori tak malu bergambar bersama, dilayan sangat baik dan lemah lembut. Malah, sekiranya ada pertanyaan pun tidak dibenarkan tanya orang lain, kerana boss yang baik itu lebih rela diganggu serta sanggup berdampingan selalu untuk mengajar. Okey, sebenarnya ini cerita layanan boss pada pekerja-pekerja barunya.

Namun yang rupa tidak setanding pekerja yang menjadi kesayangan itu pula menerima nasib yang berbeza. Dibiarkan terkapai-kapai explore sendiri. Pergi bertanya ke hulu ke hilir sekiranya ada masalah. Dijamu dengan tengkingan , pantang ada sedikit kepincangan. Mengapa begitu boss? Kenapa melenting bila ada yang perasan segala buruknya anda itu?

Untuk subcerita seterusnya pula, ini di bahagian budak baru. Mungkin juga ini merupakan budaya baru yang dihasilkan oleh university tempatan. Para graduan keluaran mereka terlalu berbangga dengan dibelai manja. Ingin disuap segala benda, tanpa rasa perlu untuk berusaha sendiri walau sedikit.

Kemanjaan melampau,sehinggalah monitor computer tak cukup besar pun dimintak tukar yang baru. Amboi manjanya. Office terasa sunyi, diminta pasang muzik. Amboi. Rasa mengantuk, disediakan gula-gula. lagi amboi.

Namun itu untuk yang disayangi dan didambakan saja, mungkin. Sebab, bagi  selain dari yang disayangi itu, cuba pandai-pandai nak tukar monitor kerana alasan yang sama hanya dapat kata-kata pedas saja.

Lagi subcerita, budak-budak lepasan belajar ni terbawa-bawa dengan sikap main-main masa belajar. Sehinggakan, tak dapat bezakan sedang bekerja dan main. Di masa orang sedang serius kejar deadline, mereka rancak bersembang zaman belajar sesama mereka. Bila diminta tolong, bulat-bulat ditolaknya dengan alasan tak tau nak buat. Ini salah satu factor yang boleh cemarkan bangsa pada pandangan aku.


Dhuha
Sememangnya Nabi juga menyarankan supaya ibadah sunat contohnya solat sunat dilakukan di rumah supaya dapat beribadah dengan betol-betol ikhlas dan terhindar dari fitnah riak. Itu lah yang lebih baik. Namun, tidak dilarang terus sekiranya terpaksa.

Tapi kata salah seorang ustaz, riak terpaksa dilalui juga dalam beribadah pada peringkat permulaannya. Sehinggalah ibadah tersebut sudah jadi sebati dalam diri seorang muslim itu. Mungkin juga la. Macam pertama kali azan, rasa macam orang pandang dan kagum. Tapi kalu dah setiap hari, rasa sudah jadi tanggungjawab dan bukan untuk ditunjukkan pada sesiapa. Sekadar contoh oleh ustaz tu.

Bila terpandang orang solat dhuha, tak kurang ada yang terdetik dalam hati mengatakan
"orang tu nampaknya nakkan sesuatu tu"
Maklum saja, solat dhuha juga sangat difahami dan difahamkan sekian lama bahawa solat murah rezeki. Boleh dikatakan suatu maksud yang salah. Tapi ada betulnya. Namun kalau lagi ikhlas selain sekadar mahukan sesuatu/murah rezeki, lagi manis ibadah itu.

Detikan hati juga sepatutnya
"Orang itu ada tuhan dan sedang mengadap tuhannya untuk meminta sesuatu"
Ini kerana, tanpa mempunyai kepercayaan kepada Allah yang hanya berkuasa ke atas segalanya nescaya orang tersebut tidak berada di situ (mengerjakan solat dhuha). Maka dengan itu, tahap keimanannya meningkat ke satu level yang lain dengan kepercayaannya itu.

Terutamanya kepada mereka yang mempercayai amalan perbomohan. Perbuatan yang menjatuhkan diri ke dalam kesyirikan. Sedangkan dosa syirik itu tidak terampun. Kerana kesyirikan adalah, bermakna menolak terus kepercayaan kepada Allah secara sedar mahupun tidak.

Untuk makluman, ini adalah satu coretan peribadi aku saja. Sekiranya bercanggah dengan ilmu dan pemikiran tuan-tuan yang terbaca, harap tidak disimpan dalam hati



 

21 November 2015

Coretan Pencinta Kucing

Biarlah Nampak sedikit  poyo atau berlebih lebih dalam menjelaskan ayat "pencinta" tu, namun itu adalah hakikat sebenar yang patut ditelan. Walaupun, sebenarnya secara rasminya ini baru pertama kali aku bela kucing kat rumah sendiri. Sebelum ni, hanya menumpang kasih kucing-kucing kat rumah orang tua aku je. Sejak masuk rumah baru, rasa sunyi dan memerlukan seekor kucing berkeliaran dalam rumah.

Dan akhirnya aku dapat la dua ekor budak kucing berketurunan Parsi ketika berkunjung ke Kelantan dalam 2 bulan lepas. Sebab terlalu kecil dan masih menyusu masa ambik tu, salah seekornya mati seminggu kemudian.

Tinggalah seekor budak. Kelihatan sihat dengan pandai menyusu, aktif bermain. Ini mengembirakan aku dan isteri. Dapat mengubat kesunyian rumah kami.

 Namun (cerita baru bermula), di sebalik galak bermain tu rupanya ada sesuatu yang kami tak sedar. Di hari yang sama salah seekornya mati tu, dalam pukul 11 pagi macam tu, selepas penat bermain aku telah menyusukan anak kucing yang masih hidup tu.  Selepas menyusu, seperti biasa dia akan tidur. Itu normal

Dalam pukul 1,dia masih belum bangun tidur. Dan aku rasakan itu juga normal, mungkin sebab penat bermain pagi tadi.

Dalam pukul 3 petang, aku mula rasa pelik. Dan aku angkatnya dari tidur, alangkah terkejutnya apabila badannya sudah terkulai. Namun masih bernafas. Dicuba bagi susu juga sudah tidak ada respon.

Kami suami isteri mula kalut, dan aku mengambil keputusan untuk hantarnya ke Veterina. kami bergegas ke Kluang (kami dari Simpang Renggam) yang mengambil masa 1/2 jam juga dengan jarak hampir 40km.

Sesampai di Klinik, doctor buat pemeriksaan dan bertanyankan symptom sehingga terjadi demikian. aku jawab la apa yang aku tau dan berlaku. Dan doctor merumuskan, itu adalah jangkitan virus. Memang biasa berlaku pada anak kucing yang tidak menyusu dengan ibunya. Anak anak kucing yang tidak menyusu ibu akan kehilangan immune terhadap penyakit. Jadi anak kucing akan tiba-tiba collapse dan pada skala 9/10 tidak dapat diselamatkan atau pun akan mati la. Tapi kami berharap dia yang 1/10 tu.

Itu je jawapan setelah jumpa doctor, maka kami balik dengan hampa. Dan doctor juga pesan, bahawa kami boleh terus beri sokongan dan kasih sayang. Mungkin akan memanjangkan sikit umurnya. Dari segi perubatan, memang takde apa yang dapat dilakukan oleh doctor.

Dan hari tu baru aku sedar aku rupanya seorang pencinta kucing. Rasa sedih sangat bila tengok keadaan dia macam tu. Keadaan koma. Hanya bernafas. Langsung tidak bergerak,lembik layu, mata terbuka namun tidak berkelip. Lagi sedih bila lihat isteri asyik menangis je sambil bercakap di telinga anak kucing tu.

Bila keadaan begitu, aku mula teringat pada hari ulangtahun perkahwinan kami yang ke-3. Pada 10/3/2015, hari tersebut sangat mengharukan seisi keluarga aku, apabila arwah ayah aku pada masa itu sedang terlantar di katil hospital dengan tanggapan kami dia sedang tidur setelah sebelumnya dia mengadapi sesak nafas yang teruk. Apabila dia tidur, kami mula rasa lega sedikit, namun apabila menjelang malam dia masih belum bangun/sedar, kami panggil doctor untuk periksa. Doktor cakap ayah sudah koma. Kami sekeluarga berkumpul, membacakan yasin, membisik ditelinga, merayu untuk ayah sedar, tak lupa juga berdoa pada Allah untuk memberikan keputusan terbaik untuk kami sekeluarga. Malamnya kami berkampung di dalam ward hospital, dan selepas solat subuh ayah disahkan telah pergi buat selamanya. Pada masa itu, hanya tuhan saja yang tahu perasaan kami semua. Namun sesukar mana untuk menghadapinya, kami tetap kena hadapi. Walau secara peribadi, aku telah lama bersedia untuk itu ; bukan mendoakan, tapi sedar bahawa situasi itu akan berlaku. cuma tak tahu bila.

Berbalik pada cerita kucing, aku laki bini sehinggakan tidak menjamah makanan pada hari itu kerana terlalu risau. Silih berganti teman sekiranya nak mandi dan solat. Aku berdoa pada Allah, berikan yang terbaik pada anak kucing aku. Sebab rasanya tak sanggup untuk lihat keadaanya begitu.

Dan dipendekkan cerita, dalam pukul 11 malam, sambil aku mengriba dia tiba-tiba matanya berkelip. aku tiup telinga, juga ada respon. Ini petanda apa? aku mula risau. Tiba-tiba lagi, dia mula bangun dan mencuba untuk berjalan. Tapi masih jatuh. Di cuba lagi, berjalan terhuyung hayang. Sudah boleh berjalan. Dalam beberapa minit kemudian, dia sudah boleh berjalan dengan sempurna. Bukan itu saja, dia sudah boleh berlari dan menggigit seolah-olah takde apa-apa berlaku pun selama hampir 10 jam sebelum tu tadi. Kami suami isteri gembira dalam pelik. Apakah semua ini?

Harapan kami supaya anak kucing kami jadi 1/10 itu nampaknya jadi kenyataan. Ini kuasa Allah. Walaupun bunyinya agak keterlaluan kalau aku bagitau sebenarnya aku juga membaca al fatihah dan tiupkan ke muka anak kucing sedang koma. Sebab aku pernah dengar, surah al fatihah juga merupakan salah satu ayat ruqyah. Tapi bila isteri aku tanya ada baca apa tu bila dia nampak aku tiup muka anak kucing, aku jawab
"Takde apa pun. Tiup saja je"

Nama kucing aku adalah "Mueez"

Sekian
Inilah wajah Mueez tengah koma.

5 November 2015

aku pun blogger apa?

Hari ni dengan penuh tegas,aku men"coretkan title kat blog aku begitu(seperti yang di atas). namun sebenarnya, itu bukan datang dari mana-mana factor luar pun. hanya sekadar membalas kata hati yang mengusik
"demo ni,lamo benar dah tak menulis.Apa crita,apa crita?(persis gaya Ropie Cecupak)"

Memang ada kebenaran juga la usikan hati aku tu, sebab sudah tersangat lama aku tak update entry blog aku ni. Sehinggakan untuk log in sekejap tadi pun terpaksa mencuba beberapa kali kerana sudah lupa password. tapi nasib baik masih lagi ada sisa-sisa ingatan katakuncinya. kalau tidak, blog ni juga akan menerima nasib yang sama macam blog-blog sebelum ni, mati tanpa kubur. Lupa password.

Dan harapan aku mulai hari ni, aku mampu untuk update entry seminggu sekali. Sekali lagi untuk peringatan ; aku sekarang ni sedang bercakap sorang-sorang. Kalau ada yang terbaca, sila jangan cuba-cuba untuk membuat penilaian dengan menggunakan perkataan negative seperti poyo, syok sendiri,perasan dan sebagainya.

Kalau ingin diceritakan,rasanya mungkin boleh menghasilkan 5 buah novel apa yang aku rasa,fikir,lalui,lihat,dengar sepanjang tempoh entry aku yang terakhir beberapa bulan lepas sehingga ke saat ini. Tapi itu sekadar "mungkin' saja. Sebab pada hakikatnya,menulis atau bercerita ni bukan semudah  kita membaca atau mendengar cerita yang diceritakan oleh orang lain.

Contohnya cerita tentang peristiwa kematian arwah ayah aku. Walaupun sudah 8 bulan berlalu, ingatan pada malam terakhir sebelum pemergian ayah aku masih segar dalam igatan. begitu juga kenangan aku pada usia 5 tahun ketika aku membantu ayah mengukur kawasan lapang untuk didirikan rumah kami sehingga sekarang. kenangan ketika zaman remaja, dihantar ke asrama, pergi berkebun, lastik burung. Itu semua adalah kenangan dan berkait dengan perasaan yang sebenarnya langsung tidak dapat digambarkan melalui kata-kata. tidak mungkin itu berlaku.

Bagaimana perjalanan hidup kami yang sudah berubah secara total walaupun ia tidak terzahir pada pandangan mata. Setiap dari kami melaluinya secara naluri dan hanya bermain dalam perasaan masing-masing setiap ahli keluarga. Bagi aku,ingin meluahkan pun tiada kemampuan serta kekuatan. Dan bila sekali sekali balik kampong, menziarahi pusara bersama Ma dan adik beradik, terasa yang kami telak kehilangan salah seorang insan penting dalam salasilah keluarga kami. Doa dan sedekah semoga dapat kembali bersatu di alam abadi.





 

18 April 2015

Aku anak desa

Semalam, tetap akan terus berlalu walau diratapi seribu tahun sekalipun. Dan semalam itu juga akan berusia seribu tahun jua.

Ini bukan sebuah sajak,bukan juga sebuah ungkapan kosong yang hanya mahu dicoret dalam entri blog aku kali ini. Tapi ia membawa pelbagai makna yang boleh dihurai sendiri oleh  setiap orang yang berakal serta menggunakan akalnya secara berhemah.

Dahulukala, dalam hutan di sempadan antara negeri Pahang dan Kelantan, pokok-pokok hutan, binatang-binatang, jin serta hantu hutannya memang tidak asing pun melihat kelibat aku menyusuri kawasan tersebut. Ini kerana di situ adalah tempat aku bermain dan menghabiskan separuh masa remaja aku. Menemani arwah ayah aku meneroka hutan yang belum diterokai dan dimiliki oleh orang lain. Setelah melepasi kawasan yang sudah milik orang, kami mula membuat tanda dan akan dikerjakan hutan itu sebagai kawasan milik kami. mula mengukur keluasan kawasannya dan mengenalpasti lokasi secara tepat melalui penanda-penanda dari pohon besar,sungai dan sebagainya.

Mula menebas dan membersihkan pokok-pokok kecil, semak samun hutan tersebut supaya terang dan akan diteruskan ke langkah seterusnya. Setelah selesai membersihkan semak samun tersubut,langkah seterusnya adalah menebang pokok hutan yang sebesar balak. Pokok hutan yang berusia ratusan tahun. Bunyinya macam penceroboh dan memusnahkan khazanah hutan Negara. Tapi itu memang benar. Sebab itu adalah hakikat. Dan bila difikirkan dengan bijaksana juga, memang setiap yang diciptakan oleh Allah akan ada manfaatnya.Kalau lah Tanah yang subur itu tidak dimanfaatkan, sekadar hanya disimpan untuk dijadikan khazanah sahaja juga tidak ada gunanya. Ada baiknya kami teroka, dijadikan kebun. Dapat juga menuai hasil untuk kelangsungan hidup. Ya, bijaksana sungguh.

Pokok-pokok yang ditebang tadi akan dikumpulkan ; dengan kudrat emat kerat manusia, sebelum dibakar. Inilah yang zaman sekarang dinamakan pembakaran terbuka. Namun pada 30 tahun dahulu ianya adalah perkara normal dan tidak ada ruangan aduan rakyat untuk mengupas tentangnya. Elektrik juga belum dijana untuk menghidupkan peti television. Jauh sekali untuk memiliki television sebenarnya.

Namun, persepsi pencemaran alam oleh proses pembakaran itu, ai membawa kebaikan pada kami yang akan mengusahakan Tanah tersebut. Kerana dengan selepas itu Tanah itu akan bertambah subur mengikut ilmu yang diwarisi oleh kami secara tradisional. Selepas kawasan itu dibakar, tanaman seperti sayur-sayuran akan sangat subur jika ditanam di situ. Labu, terung, cili dan sebagainya. Disamping itu akan ditanam juga pokok-poko buah yang jangka panjang seperti pokok durian, rambutan, petai. Pisang akan ditanam di celah-celahnya bagi menyejukkan Tanah selama anak-anak pokok itu membesar.

Itu sedikit imbas kembali yang mula menghatui aku sejak kebelakangan ini. Kerana, rasanya sudah tiba masanya aku kembali ke asal dan meneruskan legasi Arwah ayah. Hutan yang sudah diukur, namun masih belum di teruskan untuk langkah seperti yang sepatutnya masih luas. Siapa lagi dikalangan kami ; adik beradik, yang mempunyai pengalaman semua itu. Kekuatan perlu dikumpul untuk memulakannya. Kekuatan jiwa terutamanya. Kemana hendak aku campakkan kelulusan degree yang aku miliki ini untuk meneruskan usaha arwah ayah aku. namun, takkan pula hanya kerana degree yang aku ada ini, segala usaha yang dimulakan oleh arwah ayah ditinggal dan dilepaskan begitu saja. Sungguh payah untuk merungkai dan menjawab persoalan yang diajukan oleh benak sendiri ini.