28 Mac 2012

sihir I

Usia baru mencecah 14 tahun, dan sememangnya sedang melayari zaman remaja yang sekali dalam seumur hidup bagi setiap orang. Namun seorang gadis ini terpaksa terima yang hidupnya sudah dirampas dan seterusnya merubah seluruh geografi hidupnya selepas itu. Dan melalui ungkapan positif yang tidak dapat membaiki apa-apa "ini takhdirnya" dan juga merupakan perkataan redha yang mungkin langsung tidak ikhlas jauh di sudut hati.

Sebagai kakak sulung yang penyayang, dia tidak pernah lupa untuk membawa jajan kepada adik-adiknya setiap kali pulang dari asrama pada hujung minggu.Biasanya setiap dua minggu.Menghabiskan cuti hujung minggu bersama adik-adik,mengajar bahasa arab,ilmu hisab dan sebagainya.

Pada suatu hari,dia di bawa pulang ke rumah dalam keadaan yang bukan lagi seperti selalu.Menjerit-jerit,meronta-ronta dan sampai tahap perlu diikat.Adik-adik hanya mampu memandang dan tidak faham apa sebenarnya sedang berlaku.Berhari-hari,berminggu-minggu,berbulan-bulan dan bertahun-tahun.Terkadang dia ketawa,terkadang dia menangis,dia berlari dan ada masa dia diam membatu mengikut kitaran musimnya sendiri tanpa ada siapa tahu jadualnya.

Pelbagai usaha dilakukan untuk memulihkannya.Bermacam cara perubatan telah dilakukan.Segenap pelusuk negeri dibawa selagi terdaya dan termampu dilakukan oleh bapanya namun semuanya sia-sia semata.Dia tetap telah kehilangan kehidupan remajanya.Yang sepatutnya berada di sekolah, mengejar cita-cita.Dan mungkin bercinta.Tapi dia kini terpaksa melalui dugaan yang sangat hebat.Menjadi seorang pesakit jiwa atau dengan bahasa lebih melukakan,"gila".

5 tahun berlalu,keadaannya masih lagi tiada siapa dapat meramal.Sebab dia tetap akan ketawa jika mahu.Menangis.Berlari.Membisu.Sehingga dikunjungi oleh sepasang suami isteri yang meminta kebenaran dari bapanya untuk dijaga dan cuba dibawa berubat.Bapanya merelakan dan dengan harapan anak gadisnya itu dapat dipulihkan seperti sediakala.

Dia dikahwinkan dengan anak kepada pasangan yang menjaganya itu supaya mereka boleh hidup dalam satu keluarga.Dia  bernama Rosnita...Bersambung

Tiada ulasan: